NOVEMBER 2021

Baling Dan Tanam ( Throw and Grow) Rancakkan Kempen Penghijauan Sarawak


BINTULU: Inovasi kaedah Baling dan Tanam (THROW AND GROW) atau dilaksanakan dengan menggunakan teknologi pembenihan dron (DRONE SEEDING) merupakan inisiatif terbaharu oleh Jabatan Hutan Sarawak (JTS) sebagai usaha meningkatkan pemulihan dan perhutanan semula dan merancakkan lagi Kempen Penghijauan Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kesungguhan Kerajaan Negeri Sarawak melalui JTS membangunkan projek Seed Ball (Throw and Grow) ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membolehkan usaha pemulihan dijalankan dikawasan terpencil dan ini membuktikan kerajaan benar-benar komited bagi memastikan alam sekitar di negeri ini terpelihara.

“Projek penanaman semula hutan dengan menggunakan bebola benih yang ditabur khas ini adalah teknologi baharu dan ianya amat sesuai digunakan di kawasan berbukit bukau dan bercerun.

“Ini bukan sahaja menjimatkan kos malah kita dapat memperbanyakkan lagi tanaman pokok di seluruh kawasan yang terpencil.” Katanya semasa melancarkan Program Le Tour Restoration (Greening Sarawak Campaign) peringkat bahagian Bintulu di Taman Medan Sentral, Bintulu pada Selasa.

Sementara itu, beliau juga memberitahu bahawa dasar kerajaan negeri adalah mempunyai dasar seimbang dalam pembangunan industri berasaskan kayu kayan dengan alam sekitar haruslah diperlihara.

Dalam majlis yang sama, Ketua Menteri juga menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian diantara Jabatan Hutan Sarawak bersama Lembaga Kemajuan Bintulu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti & Ombudsman) Sarawak, Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datu Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datu Sr Zaidi Mahdi dan Residen bahagian Bintulu, Datu Jack Aman Luat.-EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS